Tuesday, October 7, 2008

Batu Katak

Batu Katak
Kira-kira 18 kilometer dari pekan Tatau (Bintulu) menuju ke bandar Sibu, sebuah batu besar bertapak di sebelah kiri jalan raya. Penduduk tempatan menamakannya “Batu Katak”. Sekali pandang dari tepi jalan, batu itu kelihatan biasa sahaja, cuma saiznya yang besar dan tinggi, seolah-olah sebuah bukit batu.

Pada bahagian permukaan batu, sekiranya dipandang dari tepi jalan raya, ada banyak lubang sebesar penumbuk. Menurut cerita, batu itu pernah berkali-kali cuba diletupkan dengan dinomit ketika pembinaan jalan raya Sibu-Bintulu; namun gagal. Lubang-lubang bekas digerudi untuk memasukkan dinomit masih dapat dilihat, dan sehingga hari ini batu itu tetap teguh.

Kisah Batu Katak
Kisah batu katak dikatakan terjadi pada masa lampau ketika sambutan Gawai. Seorang lelaki di rumah panjang memakaikan sirat pada seekor katak puru yang dijumpainya. Katak yang telah dipakaikan sirat itu kemudiannya lari ke ruai. Sesampainya di ruai, penghuni rumah panjang ternampak katak yang telah dipakaikan sirat itu. Seisi rumah panjang terbahak-bahak mentertawakan katak itu.

Kemeriahan sambutan Gawai kemudiannya bertukar menjadi bencana. Dalam keseronokan menyambut Gawai, mereka terlupa akan pesanan nenek moyang bahawa tidak boleh mentertawakan haiwan. Sesiapa yang berbuat demikian akan terkena sumpahan; menjadi batu.
Ribut taufan mulai melanda. Barang-barang di ruai habis bersepah diterbangkan angin ribut. Guruh berdentam-dentum. Petir sambar-menyambar. Seisi rumah panjang menjadi gempar lalu berlari lintang-pukang untuk menyelamatkan diri, namun semuanya bertukar menjadi batu. Rumah panjang itu turut menjadi batu. Hingga sekarang kesan sumpahan itu masih dapat dilihat dan dinamakan “Batu Betungkat”. Batu itu kelihatan seperti disokong oleh tiang; dipercayai merupakan kesan rumah panjang yang bertukar batu akibat sumpahan. Tiang-tiang masih kelihatan seperti menahan rumah daripada runtuh. Tempat kejadian itu sehingga kini masih dinamakan “Batu Betungkat”, sempena nama batu itu.


Di kawasan berhampiran “Batu Betungkat” ada sebuah batu yang mirip burung kenyalang. Batu itu dinamakan “Batu Kenyalang”. Kononnya ketika ribut taufan melanda, burung kenyalang itu cuba terbang untuk melarikan diri tetapi tidak sempat. Dalam keadaan mengembangkan kepak untuk terbang, burung itu bertukar menjadi batu. Tuntasnya, keseluruhan isi rumah panjang itu dan benda di sekitarnya bertukar menjadi batu.


Katak puru yang berjaya melarikan diri dari rumah panjang itu turut bertukar menjadi batu selepas ribut taufan berlalu. Namun batu itu kelihatan membesar sedikit demi sedikit dari tahun ke tahun sehinggalah sebesar yang kita dapat saksikan pada hari ini. Sekiranya dilihat dari arah dekat, batu itu memang menyerupai seekor katak yang sedang duduk.


Kisah “Batu Katak” tidak berakhir setakat itu. Sehingga kini batu itu masih ada dan dijadikan tempat “kaki nombor” memberi persembahan dan meminta agar nombor loteri mereka akan mengena. Menurut cerita, ada seorang lelaki Cina yang pernah memohon nombor ekor di situ. Apabila menang loteri, dia membina tempat teduh bagi batu tersebut dengan mendirikan pondok berbumbung. Batu itu diangkat sebagai “Dewa Batu”.

1 comment:

Lo said...

cikgu

agak menarik kisah batu katak ni...

lo